Ads 468x60px

Labels

Tuesday 1 May 2012

Panduan Merekabentuk Pendawaian Elektrik Di Rumah

Artikel ini menerangkan tentang panduan merekabentuk sistem pendawaian elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia. Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB dan bilangan mata kuasa. Sistem pendawaian elektrik dilakukan berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE (Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik).

Pendawaian elektrik rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebutDistribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada suis utama, RCCB dan MCB. Baca sini untuk mengetahui secara umum tentang papan agihan.  Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.


Gambar di atas menunjukkan sistem pendawaian elektrik yang biasa dipasang untuk rumah 1 tingkat 3 bilik. (Klik pada gambar untuk besarkan, klik sini untuk muaturun gambar di atas dalam format PDF).

Terdapat 4 jenis litar pendawaian elektrik rumah iaitu litar gelang, litar jejari, pencahayaan dan litar khusus.

1. Litar jejari

Soket alir keluar 13A (soket plug) di dalam bilik disambung pada litar jejari. Jumlah maksimum soket plug yang dibenarkan pada satu litar jejari adalah 6 unit. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 16A.

2. Litar gelang

Litar gelang adalah di mana pangkal dan hujung wayarnya disambung pada MCB yang sama. Soket alir keluar 13A di luar bilik (seperti ruang tamu dan dapur) biasanya disambung pada litar gelang. Jumlah maksimum soket plug yang dibenarkan pada satu litar gelang adalah 10 unit. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 32A.  

3. Litar pencahayaan

Lampu, kipas, loceng pintu dan jam elektrik disambung pada litar pencahayaan. Jumlah maksimum mata kuasa yang dibenarkan untuk litar pencahayaan adalah 10 unit.  Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 1.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 6A.

4. Litar khusus

Litar khusus adalah untuk peralatan elektrik yang kuasanya melebihi 2000 Watt seperti pemancur air panas, oven dan penghawa dingin. Setiap peralatan ini hendaklah dikhususkan satu litar pendawaian terus dari papan agihan, disambung pada MCB bersaiz 20A dengan saiz minimum wayar  2.5mm² bertebat PVC. Sebagai contoh, rumah anda mempunyai satu unit pemancur air panas dan 2 unit penghawa dingin. Ini bermakna anda memerlukan 3 litar khusus untuk peralatan tersebut. Litar khusus 1 untuk pemancur air panas, litar khusus 2 untuk penghawa dingin  pertama dan litar khusus 3 untuk penghawa dingin kedua.

Dalam sesebuah rumah, bilangan litar jejari, litar gelang dan litar pencahayaan boleh lebih dari satu. Sebagai contoh, rumah 2 tingkat dengan 4 bilik. Litar jejari, litar pencahayaan dan litar gelang pertama adalah untuk tingkat bawah manakala  litar jejari, litar pencahayaan dan litar gelang yang kedua adalah untuk tingkat atas.
Kesemua MCB ini akan disambung pada RCCB dengan menggunakan wayar bersaiz 4mm² (minimum). Terdapat dua saiz RCCB yang sesuai untuk pendawaian elektrik dalam rumah iaitu 40A dan 63A. Sekiranya rumah anda memerlukan soket plug dan mata kuasa kipas/lampu tidak melebihi 20 unit dan tiada penggunaan peralatan elektrik berkuasa lebih 2000W, RCCB bersaiz 40A sudah mencukui. Jika lebih dari 20 unit dan mempunyai peralatan elektrik 2000W ke atas, RCCB 63A diperlukan. Gunakan RCCB yang mempunyai kepekaan 100mA.

Sekiranya pendawaian dilakukan dalam konduit GI (paip besi bergalvani), wayar elektrik yang perlu digunakan adalah jenis double insulated (2 lapis penebat). Ini kerana jika kerja pendawaian dilakukan dalam elektrik paip besi, sekiranya dilakukan dengan kasar ia boleh menyebabkan lapisan penebat wayar terkoyak. Oleh itu wayar double insulated diperlukan supaya penebat wayar elektrik masih dalam berkeadaan baik sekiranya lapisan pertama penebat telah terkoyak.

0 comments:

Post a Comment